Terdapat pilihan meluas dalam subjek A-level yang boleh dipelajari dalam Tingkatan Enam
Jika anda pelajar Tingkatan Enam di Queen Ethelburga’s, lazimnya anda mempelajari empat atau lima mata pelajaran rasmi A-level . Jika anda dalam Tingkat Enam Fakulti Collegiate di Queen Ethelburga’s, anda boleh mengikuti pengajian vokasional A-level , kursus berorientasi kerjaya yang mana anda boleh menambah satu hingga tiga subjek A-level . Terdapat beberapa kursus Tingkatan Enam yang khusus yang terbuka kepada kedua-dua tahun Tingkatan Enam, termasuklah Peperiksaan Pembantu Pengajar Sukan berkuda BHSAI dan Sijil Leith bagi Makanan dan Wain
Di sesebuah sekolah, Tingkatan Enam harus dianggap sebagai lebih istimewa dan lebih kanan berbanding tingkatan lain. Kami yakin akan kebenaran anggapan ini. Apabila anda memasuki Tingkatan Enam, andalah contoh teladan bagi para pelajar yang lebih muda. Kehidupan pelajar Tingkatan Enam di kampus kami lebih mirip kepada kehidupan di Universiti. Tingkatan Enam ada mesyuarat tetap mereka sendiri, Bilik Kegunaan Bersama berkualiti tinggi dan berhawa dingin khusus untuk mereka sendiri, Gimnasium baru yang eksklusif dan mereka menginap berasingan. Pelajar Tingkatan Enam ada ruang istirahat boleh merokok yang mana mereka harus memperoleh kebenaran bertulis ibu bapa mereka terlebih dahulu untuk menggunakannya. Mereka juga boleh menggunakan kemudahan solarium , sauna dan Jakuzi profesional, yang terdapat dalam kawasan penginapan mereka.
Terdapat rangkaian luas terdiri daripada 22 mata pelajaran A-level yang ditawarkan:
► Seni Lukis & Reka bentuk
► Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT)
► Biologi
► Matematik
► Pengajian Perniagaan
► Matematik Lanjutan
► Kimia
► Bahasa Moden - Perancis/Jerman/Sepanyol
► Teknologi Reka bentuk
► Muzik
► Ekonomi
► Seni Pentas
► Bahasa Inggeris
► Seni Foto
► Sastera Inggeris
► Fizik
► Fesyen & Reka bentuk
► Psikologi
► Geografi
► Sejarah
Sistem Mentor Tingkatan Enam
Setiap Pelajar Tingkatan Enam mempunyai tutor peribadi yang wajib mereka temui seminggu sekali. Sebarang masalah akan ditangani sebelum ia menjadi isu dan pemantauan dibuat demi mengukur kemajuan sebenar berbanding yang disasarkan. Berlandaskan hasil pemantauan itu, galakan, taktik dan strategi digembleng demi memaksimumkan pencapaian pelajar. Sistem mentor ini terbukti berkesan dalam daya usaha memastikan pencapaian pelajaran melebihi apa yang dicita-citakan. Lazimnya 80% daripada jumlah pelajar, menduduki dan lulus sekurang-kurangnya empat subjek A-level dengan 90% daripadanya berjaya masuk ke universiti pilihan pertama masing-masing. Para pelajar yang tamat persekolahannya dengan kami menyatakan bahawa pencapaian cemerlang mereka terhasil berkat keampuhan Sistem Mentor Tingkatan Enam kami.
Sukan Berkuda dalam Tingkatan Enam
Satu pilihan popular ialah menggabungkan Pengajian Sukan Berkuda BHSAI A-level , atau Kursus Masakan Leith, dan Kolej ini menawarkan antara Pusat Menunggang Kuda yang terbaik di Eropah kepada pelajar yang berhasrat mengambil pilihan ini. Anda juga boleh mempelajari Pengurusan Ekuin NVQ 1, 2 & 3. Banyak pelajar berasaskan sukan berkuda membawa kuda mereka sendiri ke Kolej atau menyewa kuda Kolej atau membeli kuda sendiri dan menyimpannya di United Kingdom sepanjang tempoh pengajian dua tahun berkenaan.
Pusat Sukan Berkuda Diraja tersohor berharga £3 juta ini menyediakan pelajar untuk semua peringkat kemampuan menunggang kuda dengan penuh keyakinan, dan memberi tuisyen tahap kelas pertama demi meraih kejayaan dalam peperiksaan Persatuan Berkuda British ( British Horse Society ). Semua tuisyen dikelolakan oleh pengajar profesional yang diluluskan oleh Persatuan Berkuda British.
Kemudahan yang tersedia termasuklah gelanggang dalam bangunan yang besar dan gelanggang luar serba cuaca yang diterangi lampu sorot. Terdapat juga bangsal kuda bertutup berkualiti tertinggi yang boleh menampung lebih daripada 185 ekor kuda atau kuda padi, lengkap dengan kawasan penjagaan kesihatan kuda dan veterinar serta bangsal bagi kuda betina dan anak kuda yang baru lahir. Pusat Sukan Berkuda yang hebat ini dilengkapi dengan tiga lapangan merentas desa, trek meligas dan melompat serba cuaca sepanjang setengah batu dan sembilan padok luaran yakni padang untuk kuda yang luas, diterangi lampu sorot dan bersifat serba cuaca.
Kursus Vokasional Tingkatan Enam
Sebagai sebuah sekolah yang berpandangan ke depan, Queen Ethelburga’s mengiktiraf bahawa pengajian A-level Tingkatan Enam mungkin tidak menyediakan hasil pendidikan yang unggul bagi setiap pelajar. Jurus kerjaya yang memerlukan kursus-kursus pengajian khusus disediakan dengan baik oleh Queen Ethelburga’s College, malah mungkin tiada sekolah lain yang menawarkan pilihan kursus pengajian Tingkatan Enam yang lebih fleksibel dan meluas daripada kami.
►Kursus Asasi Perniagaan (Vokasional A-level)
Para pelajar boleh menggabungkan pengajian Sukan Berkuda BHSAI dengan kursus vokasional perniagaan A-level yang berkualiti tinggi. Pelajar juga boleh menambah kursus berkaitan dengan pengkomputeran dalam program pengajian mereka.
Yayasan Collegiate Queen Ethelburga’s ialah satu-satunya Kolej persendirian yang mampu menawarkan peluang unik ini yang mana boleh digabungkan pengajian Sukan Berkuda BHSAI , pengajian Komputer RSA atau pengajian khusus lain seperti Seni Lukis dan Reka bentuk, Bahasa, Muzik dan Drama. Jika jadual waktu membenarkannya, pelajar juga boleh mengambil subjek akademik tambahan atau mengambil semula peperiksaan (subjek tertentu), tertakluk pada perbincangan dengan Guru Besar.
Kejayaan boleh dicapai dalam banyak bidang
►Kursus Masakan Leith
Queen Ethelburga’s merupakan pusat di UK bagi Kursus Masakan Leith yang masyhur di seluruh dunia. Ini bak langit dengan bumi apabila dibandingkan dengan Sains Rumah Tangga yang terdahulu. Pelajar diajar membuat belanjawan, menyediakan dan merancang jamuan untuk keraian dan kursus ini dipertingkatkan dengan kunjungan menghadiri demo, majlis merasa wain dan sebagainya. Sijil yang diperoleh mendapat akreditasi dan pengiktirafan antarabangsa oleh Sekolah Masakan Antarabangsa Leith.
Pelajar boleh mengambil kursus ini bergandingan dengan subjek A-level , tertakluk pada kecukupan masa dalam jadual waktu.
Ramai pelajar luar negeri yang menambah kursus ini dalam program pengajian mereka hanya untuk suka-suka sahaja. Ia cara baik merehatkan diri mereka daripada pengajian akademik di samping membolehkan mereka membangunkan kemahiran memasak mereka yang mungkin berguna pada masa mendatang.
Banyak pilihan serta prospek kerjaya yang baik
►Kegiatan Masa lapang & Pelancongan (Vokasional A-level)
Kami menawarkan kursus peringkat tinggi GNVQ dua tahun dalam bidang Perjalanan dan Pelancongan, kursus yang mampu membantu pelajar memenuhi matlamat mereka untuk berjaya mendapat kerjaya kelas tertinggi dalam bidang hebat ini. Lokasi Fakulti Collegiate juga amat membantu. Kedudukan kami adalah betul-betul di antara bandar raya York yang terkenal di seantero dunia dengan bandar Harrogate yang cantik. Kita dikelilingi contoh terbaik bidang kegiatan masa lapang dan pelancongan, contoh yang kita gabungkan dalam pengajian kita.
►Pengajian Fesyen & Seni Kreatif (Vokasional A-level)
Kelayakan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan ini dipelajari dalam suite Fesyen dan Tekstil kita yang baru mengajar para pelajar cara untuk maju ke hadapan dalam industri yang pesat membangun ini. Mereka belajar cara mencipta pakaian yang menarik daripada reka bentuk praktikal mereka sendiri, menggunting pola pakaian dan membuat pakaian menggunakan interpretasi mereka sendiri. Mereka juga membantu dalam Pertunjukan Fesyen dalam proses mendapat pemahaman dan aplikasi praktikal dalam kerja-kerja bidang fesyen.
Apabila tamat pengajian Tingkatan Enam, pelajar akan menerima surat ini
Queen Ethelburga’s College
Thorpe Underwood Hall
York. Y026 9SZ. England
... yang dikasihi,
Sudah tiba masanya anda meninggalkan Tingkatan Enam di Queen Ethelburga’s dan melangkah keluar dan memasuki dunia yang lebih luas. Semua Gabenor dan kakitangan Kolej ini mengambil kesempatan ini untuk mendoakan segala yang terbaik bagi masa depan anda. Semakin jauh anda melangkah pastinya anda akan mendapati bahawa orang dan situasi berbeza yang anda temui bererti bahawa anda perlu membuat keputusan. Apa yang anda putuskan boleh membawa kesan pada kerjaya, keadaan kewangan, kesihatan, hubungan dan jurus hidup anda secara keseluruhan. Buatlah keputusan sendiri. Usah dipengaruhi atau dikuasai sesiapa untuk membuat keputusan yang memang anda tahu ia adalah salah, walaupun kelihatan amat mudah atau anda begitu tertarik untuk berbuat demikian.
Tentunya akan sampai waktunya anda mendapati adanya pilihan dan keadaan yang mengelirukan atau anda akhirnya mendapat masalah, melakukan kesilapan yang sukar diperbetulkan atau melakukan atau terlibat dengan sesuatu yang sememangnya bodoh.
Pada waktu sedemikian, saya harap anda akan mengadu kepada kaum keluarga atau sahabat handai demi mendapat bantuan, sokongan atau nasihat. Seandainya itu tidak mungkin bagi anda, Kolej ini bersedia dan sanggup, dari hari ini hingga anda meninggalkan Universiti, pengajian tinggi atau sehingga anda merayakan hari lahir ke 21 tahun anda, yang mana terakhir sekali, menerima panggilan telefon bayaran pindahan daripada anda, pada bila-bila masa baik siang atau pun malam, biar dari pelosok mana pun di dunia. Kami juga sanggup menyediakan khidmat guaman Peguam Kolej untuk menasihati anda dalam sebarang hal guaman, tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
Tidak kiralah apa masalah itu dan walaupun betapa dahsyat ia, saya sendiri, kakitangan saya, rakan sejawat saya atau rakan dan sekutu dari segala lapangan, pasti akan menolong anda. Anda mungkin terkejut dengan apa yang boleh dicapai dengan pantas dan tanpa kecoh, apabila timbulnya keperluan tersebut.
Berapa tahun seterusnya yang mendatang dalam kehidupan anda memang penting. Ingatlah bahawa sekiranya usaha lain menemui kebuntuan, kami ada di sini. Kami tidak akan terkejut, susah hati, kecewa atau marah – dan kami AKAN membantu. Di bawah ini, saya berikan nombor talian telefon untuk menghubungi saya atau rakan sekerja yang saya amanahkan 24 jam sehari, 365 hari setahun, tidak kira di mana pun kami berada. Silalah datang mengunjungi kami semula kelak. Selamat berjaya dan semoga Tuhan memberkati dan bersama-sama anda.
Yang ikhlas,
Brian R Martin FBIM., FInstD., FFA
Pengerusi