Tingkatan Enam - masa paling istimewa
Dua tahun pengajian terakhir di Sekolah kami yang meliputi para pelajar Tahun 12 dan 13 dinamakan Tingkatan Enam. Tempoh pengajian dua tahun ini menjurus kepada peperiksaan akhir yakni A-level . Para pelajar yang meninggalkan kami setelah tamat Tingkatan Enam akan seterusnya memasuki Universiti. Namun begitu Tingkatan Enam di Queen Ethelburga’s bukan sekadar kursus pengajian dua tahun menuju peperiksaan A-level tetapi inilah masa membina jambatan antara waktu remaja dengan dewasa, sekolah dengan pengajian tinggi dan kerjaya.
Inilah tempoh melibatkan diri dengan lebih mendalam dalam hal-ehwal masyarakat setempat dan untuk belajar menghargai erti keistimewaan yang diberikan serta memikul peranan yakni tanggungjawab tambahan dalam pengendalian kegiatan sekolah dan Rumah. Kami menawarkan kursus peperiksaan A-level yang begitu luas rangkumannya yang kesemuanya menghendaki komitmen dan kesanggupan bertahap tinggi untuk menyelidik maklumat dan memupuk minat yang tulen serta mendalam dalam mata pelajaran berkenaan.
Lazimnya pelajar memilih empat atau lima subjek akademik A-level . Pilihan popular selain daripada subjek aliran utama yang dahulunya dipelajari pada peringkat GCSE termasuklah Pengajian Perniagaan, Seni Pentas, dan peperiksaan bidang menunggang kuda BHSAI Peringkat I, II, III dan PTT. Semua pelajar juga mempelajari “Kemahiran Utama” yakni Teknologi Maklumat dan Pengkomputeran, Aplikasi Angka dan Komunikasi. Lulusan Tingkatan Enam kami baru-baru ini berjaya mendapat tempat di Oxbridge dan di Universiti berprestij lain. Kolej ini mempunyai kaitan dengan banyak universiti di UK dan di luar negeri. Hampir-hampir semua pelajar Tingkatan Enam kami tamat persekolahan di sini dan seterusnya mengikuti kursus di universiti atau kursus pengajian tinggi.
Kami mengharapkan pelajar Tingkatan Enam kami belajar dengan gigih dan kami menyediakan tuisyen bidang kemahiran pengajian lanjutan dan banyak bahan sumber. Bimbingan kerjaya adalah mata pelajaran dalam jadual waktu dan cara memilih kursus universiti, teknik temu duga dan mengisi borang kemasukan Universiti dibincangkan sepenuhnya. Semua pelajar Tingkatan Enam kami digalakkan untuk menyertai Skim Pengurusan Perniagaan Usahawan Muda dan Skim Anugerah Duke of Edinburgh .
Jelas betapa kami mengharapkan agar pelajar Tingkatan Enam kami mempunyai tanggungjawab sama ada mereka memulakan persekolahan mereka di Queen Ethelburga’s atau menyertai kami dari sekolah lain. Setiap tahun kira-kira separuh pelajar yang memulakan pengajian dua tahun dalam Tingkatan Enam datang dari sekolah lain di United Kingdom dan dari seluruh dunia. Tingkatan Enam kami kini terus membesar atas tiga sebab.
Pertama, sejarah prestasi kami cemerlang dengan pelajar kami meraih keputusan peperiksaan yang gemilang dan dapat memasuki pelbagai Universiti yang terbaik di United Kingdom dan di mana-mana jua di seluruh dunia. Kedua, cara kami menjaga dan mendidik pelajar dalam usia ini di mana kami melayan mereka sebagai anak muda meningkat dewasa dan bukan kanak-kanak sekolah yang lebih kecil. Mereka menghargai perkara ini dan hasilnya mereka mencapai keputusan baik. Ketiganya, penginapan yang kami sediakan sememangnya yang terbaik di Eropah. Tiada Sekolah atau Kolej lain yang sebanding kami dalam hal menyediakan keselesaan dan kualiti penginapan seperti kami.
Permohonan para pelajar baru yang berhasrat menyertai Tingkatan Enam kami melebihi tempat yang disediakan. Maka keutamaan sentiasa diberikan kepada pelajar yang mencapai keputusan akademik yang cemerlang di sekolah mereka yang terdahulu.
Memupuk sikap bertanggungjawab dan keghairahan terhadap kehidupan
Pelajar Tingkatan Enam memakai sut perniagaan berwarna gelap pilihan mereka sendiri semasa waktu belajar. Antara keistimewaan yang mereka terima termasuk penggunaan kemudahan bilik senaman serba lengkap dan bilik kegunaan bersama yang istimewa.
Pada pagi hari Ahad, pelajar Tingkatan Enam boleh menggunakan kawasan bersantai di sisi kolam renang setelah selesai bersarapan pagi. Mereka boleh menatap akhbar hari Ahad atau menulis surat peribadi, dan ada pula sauna dan solarium di situ.
Tanda kegemilangan sesebuah sekolah ialah keutuhan Tingkatan Enamnya dari segi jumlah pelajar dan jumlah pelajar Tingkatan Enam kami meningkat secara berterusan.
Kawasan penginapan pelajar Tingkatan Enam mempunyai banyak kemudahan yang terbaik termasuk bilik tidur dengan tempat menelaah dengan kemudahan membuat teh, telefon boleh dail keluar dan masuk, sistem mel suara, peti sejuk, radio, pita, pusat muzik CD, dan televisyen dan video dengan kawalan masa. Terdapat juga bilik mandi dengan Jakuzi dan bilik menelaah dengan komputer multi-media Pentium kendiri.
Ada dapur dan bilik duduk yang besar dengan tempat duduk yang selesa, TV satelit 20 saluran serta video. Akhbar dan majalah sentiasa terdapat dengan banyaknya.
Selepas seharian menelaah, inilah tempat rehat yang paling unggul. Apabila matahari bersinar pelajar boleh ke anjung luas di mana dapat memerhati Pusat Menunggang Kuda dan kawasan kampus yang lebih luas dari atas.
Terdapat juga jadual lawatan luar kampus yang menarik untuk menonton persembahan teater, balet, galeri seni dan muzium. Lawatan timbal balik oleh atau ke sekolah lain untuk kegiatan sukan, sosial dan budaya juga kerap berlaku.
Kecemerlangan dalam kesopanan, tenang lagi yakin dan mempunyai hala tuju
Kurikulum kami digarap untuk membina ‘kecemerlangan dalam kesopanan’, sikap yang begitu besar peranannya dalam kehidupan seterusnya. Kemahiran bersosial serta meraikan tetamu adalah antara subjek lazim yang digabungkan dengan kegiatan sosial yang ada dengan banyaknya. Ini menyajikan peluang terbaik kepada setiap pelajar untuk mempertingkatkan pencapaian akademik mereka. Jawatankuasa sekolah mengatur pelbagai acara melibatkan sekolah serta pangkalan latihan tempatan dan para pelajar ditemani tetapi tidak dikongkong oleh kakitangan sekolah apabila mereka menyertai kegiatan sosial berkenaan.
Tingkatan Enam di Queen Ethelburga’s merupakan kemuncak kerjaya persekolahan pelajar yakni tempoh masa amat istimewa dan kenangan amat manis, yang tidak luput daripada ingatan para bekas pelajar Queen Ethelburga’s.